Kurang dari 2 minggu lagi, semua orang Islam tak kira bangsa, yang miskin mahupun yang berada, akan menyambut Hari Raya Aidil Fitri. Hari yang sememangnya ditunggu oleh setiap lapisan umur samada yang tua, muda dan kanak-kanak.
Aura raya dah pun terasa, apatah lagi bila sering kedengaran dendangan lagu-lagu raya di corong radio dan televisyen. Kerlipan lampu-lampu diruang koridor dan jendela rumah menambahkan lagi seri raya yang bakal menjelma. Malah di pasar-pasar Ramadhan berderatan gerai menjual kuih-muih yang beraneka warna dan bentuk dengan pelbagai gelaran. Kek Lapis alunan ombak, kek lapis kenyalang dan bermacam-macam lagi nama kek lapis.
Di pasaraya-pasaraya dan gedung pakaian kelihatan berbagai warna baju melayu dan baju kurung dengan pelbagaii fesyen. Semuanya menarik mata memandang. Bagi yang ada duit lebih bolehlah beli 2-3 pasang atau lebih, tapi bagi yang hanya setakat menyambut Hari Raya, sepasang baju sudah cukup sekadar nak tukar selera dengan baju baru di pagi raya yang mulia nanti.
Walau apapun, Sambutlah Hari Raya dengan hati yang penuh kegembiraan, silalah menziarahi sanak saudara dan sahabat handai, hulurkanlah tangan memohon ampun dan maaf terhadap silap dan salah samada sengaja atau yang tidak di sengajakan. Semoga Hari Raya ini akan mengeratkan lagi ikatan silaturahim dikalangan kita semua.Tapi yang penting, jengok-jengoklah orang tua bagi mereka yang masih mempunyai orang tua, dakaplah mereka dan ucaplah ungkapan yang indah-indah buat mereka di hari yang mulia ini.
SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA MAAF ZAHIR DAN BATIN.
No comments:
Post a Comment